Langsung ke konten utama

Zakat fitrah di wilayah persekutuan kekal RM7

  • Zakat Gambar hiasan.
Kadar zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan pada tahun ini kekal RM7 seperti tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Mohd Rais Alias.

Beliau berkata 11 kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi setiap hari sepanjang Ramadan, termasuk pada cuti umum untuk memudahkan pembayar menunaikan Rukun Islam ketiga ini.

Katanya, kaunter-kaunter itu terletak di Taman Shamelin Perkasa Cheras, Masjid Negara, Wangsa Maju Seksyen 5, Putrajaya Presint 9, Putrajaya Presint 15 Diplomatik, Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Daruzzakah Lorong Haji Hussein 2, Masjid Al-Imam Al Ghazali Kepong, Masjid Abd Rahman Bin Auf Jalan Puchong dan Labuan Times Square.

"Kaunter-kaunter ini akan beroperasi dari pukul 8.15 pagi hingga 4.30 petang manakala kaunter PPZ-MAIWP di UTC Pudu Sentral akan beroperasi dari jam 8.15 pagi hingga 5.30 petang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kempen 'Jom Jadi Sahabat Zakat PPZ-MAIWP' di menara TM di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Rais berkata majikan di seluruh Wilayah Persekutuan perlu menggalakkan pekerja mereka membayar zakat menerusi pemotongan gaji yang dilihat lebih konsisten dan sistematik.

Beliau berkata cara itu yang dipanggil Skim Thohir dapat memudahkan umat Islam berzakat tanpa perlu ke kaunter pungutan zakat.

Beliau berkata setiap bayaran zakat melalui potongan gaji akan diselaraskan dengan Potongan Cukai Berjadual (PCB) sekaligus mengurangkan pemotongan cukai tersebut.

Telekom Malaysia merupakan antara syarikat tertinggi yang membuat pemotongan gaji zakat di Wilayah Persekutuan.

Mengenai kempen 'Jom Jadi Sahabat Zakat PPZ-MAIWP', beliau berkata Touch n Go Sdn Bhd telah menaja 4,000 kad Touch n Go dengan isian sebanyak RM5 kepada mereka yang mendaftar sebagai ahli Sahabat Zakat PPZ-MAIWP.

"Sehingga kini seramai 11,135 ahli telah mendaftar sebagai Sahabat Zakat PPZ-MAIWP yang membolehkan mereka mendapatkan maklumat semasa berkaitan program yang dianjurkan PPZ-MAIWP secara terus," katanya.

Segala taksiran atau pertanyaan boleh dibuat melalui pusat panggilan PPZ-MAIWP di 1-300-88-5757 atau layari www.zakat.com.my dan orang ramai boleh memuat turun aplikasi iZakat melalui telefon pintar secara percuma. -Bernama

Komentar

Eramuslim

Postingan Populer